Friday, November 12, 2010

Kemelut PKR: Pas, DAP perlu nyatakan pendirian


BENTONG 11 Nov. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta parti komponen dalam pakatan pembangkang agar menyatakan pendirian mereka berhubung kemelut yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Pas dan DAP menyatakan pendirian mereka kerana sebelum ini pakatan itu hanya sering menuding jari dan mencari kesalahan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pas dan DAP juga perlu menyatakan janji mereka kepada rakyat dalam konteks pakatan pembangkang berikutan krisis yang melanda PKR kini.

"Sepatutnya kita perlu tanya Pas dan DAP...apa pendirian mereka, apa pandangan mereka, dan apa sebenarnya janji mereka sekarang kepada rakyat dalam konteks pakatan.

"Sebelum ini, jika parti MCA buat sesuatu atau kemelut, parti komponen dalam BN iaitu UMNO dan MIC terpaksa menjawab begitu juga sekiranya UMNO dilihat melakukan sesuatu yang tidak kena, MCA pula kena jawab.

"Itulah sebenarnya satu fahaman yang ada dan konsisten selama ini dalam BN," katanya selepas majlis perasmian Kompleks Penjara Bentong oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Penjara Malaysia, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Selasa lalu, Datuk Zaid Ibrahim memberitahu, segala permasalahan yang timbul dalam PKR termasuk kekalutan pada pemilihan parti yang menyaksikan pelbagai aktiviti penyelewengan serta penipuan berleluasa, adalah manifestasi kelemahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid berkata, kelemahan Anwar terbukti apabila beliau hanya pandai menyalahkan BN apabila misi 16 September gagal, ahli Parlimen keluar parti selain kehilangan pentadbiran negeri Perak, sedangkan semua perkara berlaku berpunca daripadanya.

Selain itu, beliau mendakwa kelemahan Anwar juga semakin terserlah apabila hanya 6,000 ahli parti keluar mengundi dalam pemilihan PKR dan pada masa yang sama parti itu kini dilihat semakin tidak bermaya untuk menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat.

Sehubungan itu, beliau yang baru mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden mendesak supaya Anwar bersama 'anak emasnya', Azmin Ali berundur daripada PKR kerana kedua-duanya disifatkan sebagai punca kepada segala masalah.

Tambah Hishammuddin, apa yang berlaku dalam PKR itu merupakan mesej kepada ahli-ahli UMNO dan parti komponen yang lain untuk memastikan BN terus bekerja dan konsisten.

Jelasnya, kejayaan pada Pilihan Raya Kecil di kerusi Batu Sapi dan Galas membuktikan kerjasama parti komponen dalam BN serta momentum itu menunjukkan kelebihan yang ada pada UMNO dan BN.

"Akhirnya, orang ramai dapat melihat sendiri bahawa yang mereka tuduh, rupa-rupanya mereka lebih teruk lagi," katanya.

Sementara itu, Tiong Lai turut bersetuju dengan pandangan Hishammuddin dan berkata, BN perlu memantapkan parti itu selain berusaha gigih meningkatkan perkhidmatan agar menjadi lebih baik.

No comments: