MENTAKAB 9 Nov. - Wabak denggi di daerah ini perlu ditangani dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk seterusnya membimbangkan masyarakat tentang penularan penyakit tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, antara faktor yang menyumbang penyakit itu adalah kurangnya kerjasama masyarakat untuk memastikan tiada tempat pembiakan di kawasan kediaman dan persekitaran mereka.
Menurutnya, minggu lalu seorang juruwang sebuah pasar raya di bandar ini maut akibat denggi dan terdapat beberapa kes dicatatkan akibat wabak tersebut.
"Denggi telah melanda beberapa kawasan perumahan di Mentakab dan kawasan kampung yang berhampiran bandar.
"Antara faktor lain yang menyumbang pertambahan jumlah kes di daerah ini adalah rumah kosong tidak berpenghuni yang menjadi sarang nyamuk aedes," katanya ketika hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Penak di sini baru-baru ini.
Boon Seong berkata, dengan keadaan cuaca hujan ketika ini ia dibimbangi akan menggalak nyamuk bertelur pada bekas minuman dan makanan yang dibiarkan kosong.
Beliau turut menggesa JKKK dan jawatankuasa penduduk seperti Kawasan Rukun Tetangga di taman perumahan mengadakan aktiviti gotong-royong berkala bagi memastikan wabak itu dapat dihapuskan.
Sehubungan itu beliau sendiri akan menganjurkan aktiviti gotong-royong bersama penduduk di daerah ini bagi menarik minat masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment