Tuesday, October 19, 2010
Akta Sihir Digubal ?
"AKU tahu perbuatan ini dosa besar. Tapi aku tak kisah nak santau dia sampai mati pun. Aku sanggup tanggung segala dosa!"
Demikian ungkapan kesumat seorang wanita Melayu yang nekad mensantau bekas teman lelakinya seperti yang diceritakan rakan penulis, Suhaila.
Suhaila mengimbas kata-kata yang pernah berdesing di cuping telinganya itu sekitar empat tahun lalu.
"Aku dengar-dengar, lelaki itu sudah pun mati," cerita Suhaila.
Sihir atau ilmu hitam bukan perkara baru. Menurut sejarahwan, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan telah berakar umbi sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi.
Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir begitu kuat dan mereka yang mahir dalam bidang ini digelar asipu.
Dalam tamadun Rom dan Yunani, ahli-ahli sihir mereka mampu melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera manakala dalam tamadun Mesir, ahli-ahli sihir yang hebat digaji menjadi pengawal peribadi.
Di Malaysia kini, cabang-cabang sihir didapati pada amalan santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya.
Namun, keadaan ini mungkin akan berubah. Baru-baru ini, seorang pensyarah universiti mengusulkan supaya kerajaan mewujdkan Akta Jenayah Sihir bagi mengekang amalan itu daripada terus berleluasa dan membawa penjenayah sihir ke muka pengadilan.
Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.
Beliau cuba mengetengahkan satu formula yang mampu membawa persamaan antara jenayah sihir dan jenayah biasa.
"Banyak perkara jenayah di negara ini yang turut dikaitkan dengan perbuatan sihir.
"Jenayah membabitkan sihir boleh berlaku dalam kes bunuh, mendatangkan kecederaan, rogol, penipuan, kecurian, kes orang hilang, kes cerai dan poligami.
"Daripada kajian saya juga terdapat 13 kes di mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang membabitkan jenayah ini termasuk kes Mona Fandey.
"Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya 55 peratus kes orang hilang diketahui puncanya sedangkan bakinya tidak diketahui.
"Terdapat juga kekerapan mangsa santau yang kembali mendapat santau selepas beberapa bulan dirawat.
"Semua ini mendorong kita untuk segera membanteras masalah ini," katanya yang turut mempunyai pengalaman merawat gangguan makhluk halus.
Di Arab Saudi pula penjenayah sihir dikenakan hukuman pancung. April lalu, seorang lelaki Lebanon dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi atas dakwaan mengamalkan ilmu sihir.
Cedera atau kecederaan parah yang terjadi akibat sihir juga tidak bercanggah dengan maksud cedera yang terdapat dalam Seksyen 319, Kanun Keseksaan.
Ini bermakna sihir yang menyebabkan kecederaan atau kesakitan termasuk lumpuh, tuli, buta, bisu dan sebagainya dianggap satu jenayah.
Bagaimana hendak membuktikan perkara yang dianggap ghaib ini?
Mahyuddin menjelaskan, walaupun dianggap perkara ghaib namun hal-hal sihir biasanya hanya akan berlaku menerusi peralatan dan alat-alat itu boleh menjadi bahan bukti di mahkamah.
"Sihir berlaku kerana perjanjian antara manusia dengan makhluk halus dan perjanjian itu biasanya menghendaki manusia melakukan pemujaan dan menyediakan bahan-bahan sihir.
"Secara asasnya terdapat dua kategori bahan iaitu bahan luaran (bahan yang bukan berasal dari tubuh mangsa atau orang yang menyihirnya) atau bahan dalaman (bahan yang berasal dari diri mangsa dan penyihirnya).
"Antara contoh bahan luaran yang biasa digunakan ialah darah, najis, tengkorak, abu mayat, simpulan kain, air lipan bara, katak puru bertanduk, hati kura-kura, kaca, paku, ranting bunga kertas, benang, tanduk kerbau, tanah liat, lilin atau jerami yang dibentuk menjadi patung.
"Bahan dalaman pula seperti apa-apa yang menjadi identiti mangsa atau orang yang hendak melakukan sihir seperti pakaian, pakaian dalam, kuku, rambut, bulu roma dan tuala," katanya.
Pada pendekar,walaupun cadangannya baik tetapi masih perlu dibuat kajian menyeluruh sebelum akta ini digubal. Maklumlah benda benda ghaib ini susah nak dibuktikan. Walaupun Mahyuddin kata terdapat barang bukti, tetapi bagaimana nak cari?
Ini kerana kejadian sihir tidak seperti pembunuhan biasa dimana ada saksi, cop jari atau sampel DNA. Lagipun bukan semua orang tahu siapa bomoh sihir. Memang benar kadang kadang jin yang merasuk mangsa akan mengatakan siapa tuannya tetapi kata kata jin tidak boleh dipercayai. Kalau kita percaya kata jin, akhirnya akan menjadi fitnah.
Ingatlah syaitan sentiasa mahu menyesatkan orang mukmin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
saya merupakan penulis artikel ini.. benar kata tuan tentang kata2 jin tak boleh dipercayai.. saya juga ada bertanya kepada mahyuddin tentang perkara ini semasa temu bualnya tetapi tak dapat dimasukkan kerana artikel sudah tidak cukup ruang. Dia jelaskan kepada saya, dalam kes jenayah manusia, manusia juga menipu. Keterangan drp jin tidak boleh diterima secara terus, seperti juga manusia, keterangan mereka juga perlu disiasat. Tentang bahan bukti benda ghaib, saya kire ia masih sama dengan jenayah yg dilakukan manusia, bukan semua bahan bukti dapat ditemui.
Post a Comment