Monday, October 18, 2010

Tidak Cadang Gubal Undang-Undang

BENTONG 17 Okt. - Kerajaan negeri tidak bercadang menggubal undang-undang yang mahu mewajibkan masyarakat menyertai aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan persekitaran taman perumahan dan kampung daripada pembiakan nyamuk aedes.

Pengerusi Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, undang-undang khusus tersebut tidak perlu kerana masyarakat perlu menyedari bahawa aktiviti berkenaan dapat dilakukan secara bersama bagi membasmi pembiakan serangga itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius jumlah kes demam denggi di negeri ini dan telah memulakan langkah pencegahan bagi memerangi penyakit tersebut.

"Kita bimbang jika tiada langkah-langkah pencegahan dilakukan kerana situasi tersebut mungkin menjadi semakin teruk seperti yang berlaku tiga tahun lalu," katanya di sini, baru-baru ini.

Khai Mun memberitahu, sejak Januari hingga awal bulan ini, sebanyak 1,112 kes demam denggi dicatatkan yang menyaksikan peningkatan sebanyak 60 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut beliau, pada 2007, jumlah kes demam denggi dicatatkan sebanyak 2,777 kes diikuti 2008 (1,300 kes) dan 2009 yang mencatatkan 907 kes sahaja.

Oleh itu, beliau masyarakat sedar tentang peningkatan jumlah kes tersebut dan berubah sikap untuk bersama-sama membersihkan tempat-tempat yang menjadi pembiakan nyamuk aedes.

"Hanya memerlukan 10 minit bagi setiap rumah memeriksa persekitaran dan membunuh larva dengan tidak memberi ruang kepada nyamuk untuk membiak," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, masyarakat tidak harus bergantung kepada pihak berkuasa sahaja untuk mengambil tindakan membersihkan kawasan tertentu kerana perkara itu perlu mendapat kerjasama daripada kedua-dua pihak.

Tambahnya, melalui kerjasama masalah penyakit dan pembiakan nyamuk aedes dapat dihapuskan selain menyelamatkan nyawa orang lain daripada dijangkiti penyakit tersebut.

Selain itu, beliau meminta orang ramai supaya membuang sikap 'tidak apa' kerana jika dibiarkan maka usaha untuk membanteras demam denggi tidak menemui sebarang kejayaan.

No comments: