Thursday, July 1, 2010

Lindungi Spesis Kelah

JERANTUT 30 Jun - Jabatan Perikanan Pahang (JPP) mewujudkan zon larangan menangkap ikan bagi memelihara kira-kira 50,000 spesies kelah di Sungai Sepia dan Sungai Gembir, Hulu Tembeling dekat sini.

Timbalan Pegawai Penguat Kuasa Perikanan Darat (Kawasan Timur) Jabatan Perikanan negeri, Abdul Ghaffar Abdul Manaf berkata, kawasan larangan yang dikenali Zon Merah di Sungai Sepia di Kampung Gusai dan Sungai Gembir di Kampung Mat Daling dekat sini merupakan antara mekanisme untuk mengelakkan spesies berkenaan pupus.

Beliau berkata, kawasan pemeliharaan ikan kelah termasuk temoleh, jelawat dan patin itu juga bertujuan memacu pembangunan sektor pelancongan di Hulu Tembeling setanding dengan Empangan Kenyir di Terengganu dan Tasik Banding di Perak.

''Kita memandang serius kegiatan penangkapan haram dengan menggunakan elektrik dan tuba hingga menjejaskan pembiakan spesies ini dan dikhuatiri lenyap dalam masa singkat jika tidak dipantau dari semasa ke semasa.

''Inventori yang kita laksanakan selama dua hari di Lubuk Tapah dan Lubuk Cice di Sungai Sepia dan Sungai Gembir menganggarkan lebih 50,000 spesies kelah dan ikan air tawar lain membiak dan perlu dipantau dengan kerjasama penduduk setempat," katanya kepada pemberita di Kampung Gusai hari ini.

Menurut Abdul Ghaffar, zon larangan itu diwujudkan selepas pelepasan benih ikan kelah oleh Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Hulu Cheka dekat sini, kira-kira dua tahun lalu di kedua-dua sungai terbabit.

Beliau berkata, penangkapan haram dengan menggunakan tuba dan elektrik dipercayai dilakukan oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pelancong ke kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menubuhkan persatuan perikanan membabitkan 80 penduduk masing-masing dari Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling untuk memantau kegiatan penangkapan haram tersebut.

Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya masih membenarkan 'kaki pancing' menangkap ikan di beberapa kawasan di dua batang sungai itu dengan bayaran RM3 sejam yang dikendalikan oleh persatuan perikanan dua kampung berkenaan.

''Menerusi persatuan ini, kami dapat mendidik penduduk kampung berkenaan mengenai pemeliharaan spesies itu dan kesedaran menghargai hidupan air serta alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, kata Abdul Ghaffar, Jabatan Perikanan mewujudkan santuari pemuliharaan ikan kelah di tiga zon utama di Sungai Tembeling sejak lima tahun lalu.

Katanya, tiga zon berkenaan bermula dari Jeram Panjang hingga Lubuk Katak (Zon Merah), Lubuk Gedembai hingga Jeram Panjang (Zon Kuning) dan Lubuk Katak hingga ke Kuala Kenyam (Zon Hijau).

''Kita mengambil langkah mewujudkan santuari dan zon pemantauan bagi membolehkan spesies berkenaan membiak secara bebas di Sungai Tembeling dan sungai lain di negeri ini

''Kewujudan santuari di kawasan berkenaan bukan sahaja untuk pemeliharaan spesies akuakultur malah bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh institusi pengajian tinggi di negara ini dalam jangkamasa panjang," katanya.

Beliau menambah, Jabatan Perikanan memilih kawasan jeram dan lubuk di Sungai Tembeling dan Sungai Sepia kerana kawasan itu menjadi habitat spesies akuakultur bermutu tinggi untuk membiak berbanding tempat lain yang telah dicemari.

No comments: