Apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli UMNO perlu berpijak di bumi nyata. Landskap politik negara telah berubah sama sekali. UMNO tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru.
Itu amanat Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak setahun lalu.
Sempena sambutan Hari UMNO ke-64 semalam, sekali lagi amanat yang hampir sama dinyatakan oleh Najib. Presiden UMNO itu mengingatkan, sejarah UMNO yang gemilang bukan lagi satu jaminan kelangsungan untuk terus berkuasa memandangkan rakyat kini turut melihat kedudukan parti itu pada masa kini dan akan datang.
Hakikat sekarang menunjukkan fakta sejarah kegemilangan UMNO bukan lagi menjadi ukuran kerana sudah ada kalangan rakyat yang tidak ambil peduli perkara itu.
Sebab itu UMNO perlu berubah dan UMNO perlu berani membuat perubahan. Dan telah banyak kali Najib berpesan kepada semua ahli parti itu supaya melakukan perubahan.
Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, UMNO tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa terdahulu.
Tanggungjawab menjamin kelangsungan nasib orang Melayu dan bumiputera tidak dinafikan dipikul oleh UMNO. Sebab itu UMNO tidak boleh kalah atau hilang kuasa.
Tetapi, adakah UMNO sudah bersedia untuk melaksanakan misi meraih semula sokongan pelbagai lapisan pengundi terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN)?
Perubahan minda, nilai dan sikap pengundi sekarang lebih mementingkan nilai-nilai politik yang tulus iaitu integriti, jujur dan telus. Apakah UMNO akan terus relevan di tengah-tengah kemunculan budaya dan nilai politik baru ini?
Jangan UMNO berfikiran seperti masa lalu, apa sahaja yang diberi rakyat terima dan membalasnya dengan memberi undi kepada BN. Dulu lain, sekarang lain. Sekarang pendekatan memancing undi begini tidak laku lagi. Walaupun mereka terima hadiah yang diberi, undi belum tentu diberi kepada parti BN.
Hakikatnya kini, sama ada UMNO sudah sedar atau buat-buat lupa bahawa parti itu sudah lama berhadapan dengan satu generasi muda Melayu baik lelaki mahupun perempuan yang tidak lagi mendukung perjuangan bangsanya sedangkan mereka lahir hasil kejayaan UMNO.
UMNO sedang berdepan dengan ujian yang akan menentukan sama ada ia akan terus hidup atau mati. Kita percaya, ia bukan semata-mata terletak pada pengundi tetapi ahli UMNO sendiri.
UMNO perlu sedar bahawa kekuatannya bermula dengan hubungan pemimpin akar umbi dengan rakyat. Ini bermakna pemimpin peringkat cawangan dan bahagian UMNO mesti aktif mengadakan program aktiviti kemasyarakatan, bersama membasmi kemiskinan tegar, bantu rakyat semasa berlaku bencana dan kesusahan.
Perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 menuntut UMNO untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dari segi organisasi, struktur, pendekatan, nilai dan sikap demi memulihkan kepercayaan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.
Oleh itu, diri pemimpin tidak penting, yang penting ialah mengukuhkan institusi UMNO. Pemimpin boleh datang, pemimpin boleh pergi tetapi UMNO mesti tetap wujud, harus kuat dan kukuh. UMNO harus dikukuhkan demi memastikan maruah bangsa terus terjamin.
Selamat ulang tahun UMNO ke-64.
No comments:
Post a Comment