Sunday, May 2, 2010

Melayu Hilang Arah

Sukarkah untuk bertutur Bahasa Kebangsaan dengan betul?

Awang lontarkan pertanyaan ini kerana terganggu dengan fenomena bahasa rojak atau gaul yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam Bahasa Kebangsaan tetapi dicampuradukkan dengan Bahasa Inggeris, sudah menjadi lumrah.

Walaupun ada istilah dalam Bahasa Melayu, yang sebahagian besarnya sangat mudah dituturkan namun Bahasa Inggeris menjadi pilihan.

Daripada pertuturan harian termasuk dalam majlis-majlis rasmi sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan, kita semakin terdedah kepada persekitaran bahasa rojak.

Malah sebahagian menteri dan pemimpin kita juga terbawa-bawa menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan pada majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Seolah-olah tidak sah bercakap Bahasa Kebangsaan tanpa diselitkan Bahasa Inggeris. Bukanlah Awang membantah penggunaan Bahasa Inggeris. Kalau mahu bertutur Bahasa Inggeris gunakanlah sepenuhnya bahasa itu. Begitu juga semasa bertutur Bahasa Kebangsaan, tidak perlu dicampuradukkan.

Dalam pengamatan Awang, Bahasa Melayu yang paling banyak dan mudah tercemar jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain.

Di kalangan orang Melayu sendiri, Bahasa Melayu yang sebenarnya indah, kian kelihatan menjadi rosak. Orang Melayu semakin leka dalam banyak perkara termasuk soal bahasa.

Ketika bangsa lain di seluruh dunia memperhebatkan usaha mengangkat dan mengagungkan bahasa mereka, orang Melayu sebaliknya tidak teruja berbuat demikian.

Lebih menyentuh perasaan Awang apabila tokoh masyarakat Lee Lam Thye membangkitkan isu itu dalam satu perbincangan baru-baru ini. Beliau melahirkan kebimbangan dengan fenomena bahasa rojak.

Malah beliau bertanya di manakah hilangnya keyakinan kita terhadap Bahasa Kebangsaan? Soalan itu bukan datang daripada pakar linguistik atau pejuang bahasa tetapi daripada seorang tokoh bukan Melayu.

Kalau Lam Thye sejak dahulu lagi boleh menyakini Bahasa Kebangsaan mengapa tidak yang lain termasuk kalangan profesional Melayu. Jika berpeluang berbual dengan Lam Thye, dengarlah bagaimana beliau menggunakan Bahasa Melayu yang baku dengan penyampaiannya yang kemas.

Lalu Awang teringat kata-kata menteri kita, Rais Yatim ketika melancarkan wajah baru Utusan Melayu Mingguan baru-baru ini. Katanya, selagi orang Melayu tidak sayangkan budayanya selagi itu apa yang menjadi khazanah Melayu termasuk bahasa akan pupus. Melayu mudah terlerai dari akar. Sudah terbukti, skrip tulisan Jawi mulai pupus ketika skrip tulisan bangsa lain kukuh bertahan.

Itu baru menyentuh soal bahasa rojak dan belum memperkatakan tentang lunturnya minat di kalangan sebahagian orang Melayu untuk bercakap Bahasa Melayu biarpun berhadapan dengan khalayak Melayu. Bagaimana kita mahu mengharapkan bukan Melayu untuk bersama-sama mengangkat Bahasa kebangsaan dalam erti kata sepenuhnya jika sebahagian orang Melayu sendiri meminggirkan bahasa itu?

Sedangkan di negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, kaum utama begitu kuat pegangan mereka kepada Bahasa Kebangsaan walau apa sekalipun status dan taraf ekonomi mereka. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan termasuk realiti baru yang kini dihadapi oleh masyarakat Melayu. Kalau bahasa pun kita sudah tidak bermaya pelihara apatah lagi yang lain ....

No comments: