Saturday, May 1, 2010

Bapa pelajar lumpuh terharu terima bantuan

BENTONG 30 April - Bapa kepada pelajar lumpuh yang turut mengalami pendarahan otak, Saad Ahmad, 42, melahirkan rasa terharu dengan bantuan yang diberikan pelbagai pihak untuk meringankan penderitaan anaknya itu.

Saad berkata, selepas penderitaan anaknya, Firdaus, 13, disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 28 Januari lalu, banyak pihak yang tampil bagi membantu anak lelakinya itu.

Katanya, antara yang tampil menghulurkan bantuan ialah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyumbangkan kerusi roda, katil serta tilam bernilai RM4,510.

''Selama ini, saya ingat penderitaan yang dialami Firdaus hanya ditanggung kami keluarga sahaja, tetapi sebenarnya ramai yang bersimpati dan berkongsi masalah itu apabila turut menghulurkan bantuan sejak Utusan Malaysia menyiarkan berita penderitaan anak saya itu.

''Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak terbabit yang banyak membantu dan tidak mampu untuk disebut satu-persatu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Saad yang juga bekas anggota tentera berkata, Firdaus mengalami pendarahan dalam otak selepas terjatuh dalam bilik di rumah mereka di tanah rancangan Felda Sertik dekat sini pada 17 Julai tahun lalu sehingga menyebabkan anaknya pengsan.

Dia bersara pada tahun 2007 semasa berkhidmat dalam pasukan 4 Briged Mekanis, Kem Batu 10, Kuantan dengan pangkat Staf Sarjan.

Berikutan kejadian itu, isterinya, Norashikin Abdul Razak, 40, telah menghantar anaknya ke Hospital Bentong tetapi dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan pendarahan yang dialaminya sudah kritikal.

Firdaus kemudian terlantar selama empat bulan di hospital berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan Firdaus, murid Sekolah Kebangsaan Felda Kampung Sertik di sini lumpuh selain turut hilang ingatan dan penglihatan.

Saad memberitahu, anaknya itu telah beberapa kali menjalani pembedahan di bahagian kepala bagi memulihkan semula sistem urat saraf di bahagian otaknya namun semua usaha itu sehingga kini masih belum membuahkan hasil.

Sementara itu, Norashikin berkata, pihak sekolah sebenarnya telah meletakkan harapan tinggi kepada Firdaus untuk mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peristiwa yang berlaku hampir setahun yang lalu itu telah mengubah seluruh kehidupan Firdaus termasuk dalam bidang akademik.

No comments: