Saturday, May 1, 2010

MPK dapat peruntukan RM118j

KUANTAN 30 April - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM118 juta bagi memastikan pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan di daerah ini berjalan lancar pada tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Azizan Ahmad berkata, peruntukan tersebut melibatkan empat projek pembangunan khas.

Menurut beliau, projek berkenaan ialah pembinaan Ibu Pejabat MPK dengan kos sebanyak RM60 juta, naik taraf terowong bekas lombong bijih Sungai Lembing (RM8 juta), pembinaan Terminal Sentral di Bandar Indera Mahkota dan naik taraf Terminal Makmur di sini yang masing-masing melibatkan kos RM46 juta dan RM4 juta.

"Kesemua tender projek pembangunan khas itu akan dikeluarkan pada bulan depan dan Jun ini.

''Ia akan dibuka kepada kontraktor yang layak dalam menjalankan kerja-kerja pembinaan itu," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat penuh MPK di sini hari ini.

Azizan berkata, pembinaan Ibu Pejabat MPK di Jalan Tanah Putih akan dibina bersebelahan bangunan sedia ada bertujuan menampung bilangan kakitangan yang kian bertambah.

Menurutnya, bangunan setinggi 11 tingkat itu dilengkapi peralatan pejabat canggih, dewan besar, bilik mesyuarat dan auditorium serba moden yang mampu memberi keselesaan kepada kakitangannya.

"Kita akan sentiasa memastikan kesempurnaan dan keselesaan kepada semua pihak, baik kakitangan MPK mahupun orang ramai yang berurusan dengan kami.

''Kita jangka ia siap sepenuhnya pada tahun 2012 nanti," katanya.

Azizan berkata, pembinaan Terminal Sentral untuk perkhidmatan bas ekspres yang terletak bersebelahan Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota pula bakal siap sepenuhnya pada tahun sama.

Katanya, terminal dua tingkat tersebut turut dilengkapi kemudahan canggih termasuk tempat menunggu berhawa dingin.

Bagi projek naik taraf terowong bekas lombong bijih Sungai Lembing dan Terminal Makmur pula, masing-masing dijangka siap pada hujung tahun hadapan.

Katanya, projek naik taraf terowong tersebut bertujuan menarik lebih ramai pelancong ke bekas lombong paling dalam di dunia itu.

Dalam perkembangan lain, tambahnya, MPK akan terus memberi perhatian dalam aspek kebersihan bagi memastikan daerah ini sentiasa indah dan ceria.

No comments: