Friday, September 17, 2010

Helikopter Bomba Terhempas

TEMERLOH 16 Sept. - Seorang pegawai Bomba dan Penyelamat parah manakala dua lagi anggota cedera ringan selepas helikopter jenis Agusta A109E yang mereka naiki terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Ladang Getah Bukit Lada, Felcra Kuala Kaung dekat Lanchang di sini hari ini.

Kejadian pukul 10.07 pagi itu melibatkan juruterbang helikopter, Penguasa Bomba dan Penyelamat, Kapten Roslan Aziz, 30; Penolong Penguasa Bomba Khairil Azuan Jamaluddin, 30, dan Asrul Mohd. Nordin, 33, yang kesemuanya daripada Unit Udara Bomba dan Penyelamat Subang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kabus tebal di kawasan terbabit.

"Maklumat awal yang kami terima mendapati helikopter itu cuba mendarat cemas di kawasan berhampiran disebabkan kabus tebal namun tidak sempat lalu terhempas di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, helikopter itu terhempas dalam keadaan terbalik ke sebelah kiri sehingga mengakibatkan semua kipas dan ekornya patah.

Katanya, ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang melakukan rondaan udara di sekitar Lebuh Raya Pantai Timur sehingga ke Kerteh, Terengganu bagi memantau keadaan lalu lintas kenderaan yang baru pulang dari kampung selepas Hari Raya Aidilfitri.

Tambahnya, Khairil Azuan dan Asrul mengalami cedera ringan manakala Roslan yang parah di bahagian leher dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan.

Operasi menyelamat semua mangsa dilakukan Bomba dan Penyelamat Pahang serta polis.

No comments: