Saturday, August 14, 2010

Orang Asli Perlu Berwaspada Dengan Dakyah Pembangkang

Orang Asli di negeri ini diminta agar tidak terpengaruh dengan fitnah pihak tertentu yang menuduh kerajaan Pusat mengagihkan dividen hanya RM500 setahun kepada golongan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, ketika ini terdapat khabar angin bahawa Orang Asli Kampung Pasu yang menjadi peserta Tanam Semula Kelompok (TSK) yang dimajukan oleh RISDA hanya mendapat wang dalam jumlah tersebut.

"Kenyataan itu adalah adalah bohong dan fitnah bertujuan menimbulkan kemarahan Orang Asli Kampung Pasu sedangkan peserta projek berkenaan menerima dividen RM500 sebulan daripada RISDA.

"Sebelum ini seramai 110 peserta TSK menerima dividen RM400 sebulan dan RISDA menambah bayaran dividen RM500 sebulan sejak Jun lalu setelah permintaan dan pasaran komoditi itu meningkat," kata Mohamed.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dividen TSK itu kepada 110 Orang Asli di Kampung Pasu, Kuala Krau, dekat sini semalam.

Turut hadir, wakil Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Pahang, Syed Zainudin Syed Osman dan Pegawai JHEOA Temerloh, Wan Khairul Anuwar Wan Mohamad Rozali.

Menurut beliau, TSK Kampung Pasu mula dimajukan sejak 2003 membabitkan tanah seluas keluasan 146 hektar dan mula mengeluarkan hasil pada 2006.

Katanya, usaha kerajaan melalui RISDA itu adalah untuk membantu masyarakat Orang Asli keluar daripada kepompong kemiskinan dan kini kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan itu sudah jauh berubah.

Selain Kampung Pasu, tambahnya, kerajaan Pusat turut memajukan tanah seluas 1,646 hektar termasuk projek tanam semula di usahakan oleh RISDA melibatkan tujuh perkampungan Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri Jenderak.

"Kampung yang terlibat ialah Kampung Pian (517 hektar), Lubok Wong (275), Paya Pelong (230), Paya Rekoh (207), Penderas dan Seboi (177) dan Paya Mendoi (94).

"Saya harap dengan adanya projek ekonomi seperti itu masyarakat Orang Asli dapat menyimpan wang itu untuk kegunaan perkara yang lebih penting terutama pendidikan anak-anak," katanya.

Tambahnya, selain pendapatan daripada dividen tersebut Orang Asli disarankan supaya mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman kontan bagi menambah pendapatan tambahan.

Mohamed memberitahu, sejak kerajaan memajukan tanah Orang Asli dengan tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit mereka kini tidak lagi perlu masuk ke hutan untuk mencari rezeki.

No comments: