Friday, July 30, 2010

Halang DAP Dari Berkuasa

DAP terus dikecam dan diingatkan tidak rakus mencabar ketuanan Melayu sehingga boleh menimbulkan suasana tegang di dalam negara.

Sehubungan itu, kalangan pemimpin UMNO dan Parti Progresif Penduduk (PPP) mengingatkan DAP jangan mempersoalkan lagi perkara itu jika mahukan perpaduan kaum di negara ini tidak tercalar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberi amaran kepada DAP supaya menghentikan tindakan yang dianggap sebagai usaha untuk mencetus keharmonian kaum di negara ini.

''Sebenarnya isu supaya dibatalkan kuota orang Melayu dalam pembelian rumah adalah propaganda semata-mata kerana agenda sebenar untuk menghapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad juga mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhenti dari terus menjadi alat DAP.

''Kini apa yang jelas, DAP semakin berkuasa, itu juga menunjukkan bukti kelemahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hanya menjadi 'pak turut' dan mengikut telunjuk mereka tanpa banyak soal,'' katanya.

Beliau berkata, isu ini juga menunjukkan bukti Khalid bersekongkol dengan DAP di mana Melayu di Selangor akan dipinggirkan dan teraniaya di bawah kepimpinannya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar menggelar DAP sebagai 'cauvinis' apabila tidak jemu-jemu membangkitkan isu yang menyentuh ketuanan Melayu.

''Lebih menyedihkan apabila orang Melayu sanggup bersekongkol untuk menjatuhkan kaum sendiri,'' katanya.

Noh berkata, sokongan daripada Khalid telah menambahkan keberanian DAP untuk terus mempersoalkan hak Melayu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PPP, Datuk A. Chandrakumanan berkata, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak harus menyentuh hak istimewa Melayu yang sememangnya telah terlindung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

''DAP sepatutnya sensitif dan sedar bahawa hak orang Melayu tidak boleh dipertikaikan,'' katanya.

Chandrakumanan melahirkan rasa kesal kerana Khalid pula menyokong cadangan Tony Pua semata-mata kerana agenda politiknya.

Sehubungan itu, katanya, kaum Melayu di Selangor dinasihatkan mengambil pengajaran di atas perkara ini di mana mereka akan kehilangan hak jika pembangkang masih diberikan peluang untuk memerintah negeri tersebut.

No comments: