Sunday, June 6, 2010

Sasar 20,000 Pengundi Baru

KUANTAN 5 Jun - UMNO Pahang menyasarkan pendaftaran 20,000 pengundi baru tahun ini dengan memperhebatkan lagi gerakan daftar pemilih di peringkat bahagian.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Pengundi dan Pemilih UMNO Bahagian Bera, Datuk Mohd. Azizan Che Omar berkata, kaunter-kaunter daftar pemilih akan dibuka di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya golongan belia.

Katanya, UMNO Bahagian yang berjaya memperoleh jumlah pengundi baru terbanyak sehingga akhir tahun ini juga akan diberikan ganjaran.

Beliau berkata, selain itu, UMNO akan turut menggunakan pendekatan proaktif untuk mendekati pengundi iaitu dengan membuka kaunter pendaftaran di tempat rekreasi dan riadah yang menjadi tumpuan golongan belia.

"Kaunter pendaftaran pengundi akan dibuka di tempat-tempat seperti pusat membeli-belah, karaoke dan rekreasi yang merupakan tarikan kepada pengunjung," katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui semasa pelancaran kaunter daftar pemilih Pemuda UMNO dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat karaoke keluarga Xanax di Kompleks Teruntum di sini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat dan Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Suhaimi Sulong.

Menurut Mohd. Azizan, masih terdapat golongan belia yang masih tidak tahu bagaimana untuk mendaftar sebagai pengundi dan di mana hendak mendaftar.

"Sehubungan itu, kami bertindak menyediakan kemudahan tersebut kepada orang ramai khususnya belia," katanya.

Tambah beliau, selain menambah bilangan pengundi baru, pendekatan yang diambil akan turut mendekatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan rakyat.

"Sasaran kami adalah pengundi muda kerana mereka gemar menghadiri pusat rekreasi dan riadah.

"Ada belia-belia yang minat dalam politik tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk melibatkan diri. Oleh itu, melalui cara ini mereka bukan sahaja boleh mendaftar sebagai pengundi tetapi juga sebagai ahli UMNO," ujarnya.

2 comments:

UMNO Bahagian Bentong said...

Assalamualaikum...
Saudara. saya terfikirkan kaedah bagaimana untuk kita berkongsi maklumat kerana ada beberapa perkara yang boleh kita bincangkan dan usaha kan bersama.
Nak menghantar maklumat kepada saudara, alamat email takde. Mohon kerjasama saudara email kepada saya di:

ppubtg@gmail.com

Terima kasih.

Pendekar Melayu said...

ws..nanti saya hantar.