WAJARKAH seorang pemimpin yang kononnya mendokong gagasan masyarakat berperadaban (madani), asyik melemparkan kata-kata kesat? Pertanyaan ini Awang lemparkan kepada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang makin galak menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapannya. Baru-baru ini, pemimpin utama PKR itu menggambarkan hakim yang mengadili perbicaraan tuduhan liwatnya sebagai bahalol.
Ini bukan kali pertama beliau menghamburkan kata-kata sedemikian. Dalam ucapan-ucapannya di khalayak umum termasuk kempen pilihan raya umum 2008 dan beberapa pilihan raya kecil selepas itu, Anwar kerap menggunakan istilah seperti bahalol, bangang dan bodoh. Bukan itu sahaja, perkataan celaka dan sial juga digunakan.
Ternyata tabiat Anwar suka menggunakan kata-kata kesat sudah cukup mencerminkan siapakah sebenarnya beliau. Dalam kita menekankan pentingnya adab, budi bahasa dan sopan-santun terutama di kalangan anak-anak dan pelajar, wajarkah seorang pemimpin politik yang ghairah mahu menjadi Perdana Menteri, mempunyai mulut yang celupar.
Ingatlah kemuliaan seseorang bukan diukur dengan kekuasaan, kedudukan, kekayaan mahupun keturunan. Sebaliknya ia dinilai daripada banyak kriteria yang terkandung dalam al-Quran termasuk tutur kata. Sejarah telah membuktikan bahawa adab adalah penentu jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara.
Usahlah gundah untuk mencari kebenaran dan diadili. Melabel orang lain bahalol, tidak akan dapat menutup kebenaran dan sebarang muslihat. Dari sisi Islam, orang yang takutkan kebenaran, menganiaya orang lain, hipokrit besar dan bersikap pengkhianat, itulah sebenarnya bahalol. Tafsirkanlah sendiri.
No comments:
Post a Comment