Friday, April 30, 2010

Tangisan tiang mimbar

Dan tidak ada yang menghalangi kami akan mengutuskan dengan tanda-tanda (mukjizat) melainkan telah didustakan oleh orang-orang terdahulu... (al-Israk: 59)

Masjid Nabawi adalah masjid yang dibina hasil gotong-royong orang Ansar dan Muhajirin sejurus sahaja Rasulullah SAW berhijrah daripada Mekah ke Madinah.

Tapak masjid tersebut adalah tempat perhentian pertama unta putih Rasulullah. Ketika orang Muhajirin sampai ke Madinah, mereka disambut dengan meriah oleh orang Ansar.

Semua penduduk Madinah berebut-rebut mendapatkan Rasulullah supaya baginda berhenti dan singgah di rumah mereka.

Lalu baginda menyerahkan kepada unta putih baginda untuk membuat keputusan.

Kemudian unta putih itu berjalan lalu berhenti di satu kawasan lapang berdekatan dengan tanah perkuburan. Maka baginda telah mencadangkan untuk membina sebuah masjid di situ yang dikenali sebagai Masjid Nabawi.

Dalam masjid itu, baginda telah membina mimbar yang diperbuat daripada batang tamar. Di mimbar itulah Rasulullah menyampaikan khutbah kepada kaum baginda.

Tidak kira pada waktu sembahyang ataupun pada waktu-waktu yang lain. Masjid itu juga sentiasa menjadi tumpuan orang. Sekiranya ada perbincangan atau majlis ilmu, Masjid Nabawi menjadi pusat perjumpaannya.

Setelah beberapa lama masjid itu dibina dan digunakan, mimbarnya mula menjadi reput. Rasulullah dan para sahabat memutuskan untuk membuat mimbar baru. Lalu Rasulullah dan orang-orang Islam bertungkus-lumus mengumpulkan batang tamar. Tiang mimbar yang lama telah diruntuhkan dan disimpan di tempat lain untuk digantikan dengan yang baru.

Pada suatu hari, sedang Rasulullah berkhutbah, baginda dan para sahabat terdengar satu suara tangisan. Mereka tercari-cari suara tersebut. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu datang daripada batang tamar yang dijadikan mimbar yang lama. Rasulullah pergi mendapatkannya. Dengan penuh kasih-sayang baginda menepuk-nepuk batang tamar tersebut kemudian bertanya kenapa ia menangis. Batang tamar itu menjawab:

"Aku sungguh sedih mengenangkan nasibku kerana khidmatku tidak diperlukan lagi olehmu ya Rasulullah. Sedangkan aku ingin bersama denganmu sehingga akhir hayatmu."

Rasulullah tersenyum lalu berkata: "Sabarlah wahai batang tamar, walaupun khidmatmu tidak diperlukan lagi kerana keuzuranmu, namun engkau tetap akan bersamaku di syurga kelak."

Selepas mendengar kata-kata Rasulullah itu, batang tamar tersebut berhenti daripada menangis.

No comments: