Thursday, April 29, 2010

H1N1: 16 pelajar MRSM Bentong masih dikuarantin

KUANTAN 28 April - Seramai 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong masih dikuarantin di bilik pengasingan sekolah tersebut setelah disahkan positif Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, mereka terdiri daripada 10 pelajar perempuan dan enam lelaki.

"Tiga orang telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bagaimanapun, semua kes adalah stabil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, sebanyak 50 kes kejadian kluster H1N1 dikesan di sekolah berkenaan, bagaimanapun 31 daripada pelajar terbabit dibenarkan pulang ke rumah bersama ibu bapa masing-masing.

Khai Mun berkata, Pejabat Kesihatan Bentong akan terus menjalankan pemantauan setiap hari terhadap pelajar dan kakitangan MRSM terbabit bagi mengesan sebarang kes baru, jika ada.

"Secara keseluruhan, kejadian kluster di MRSM Bentong adalah terkawal dan keadaan para pelajar terlibat adalah stabil," katanya.

Beliau memberitahu, sehingga semalam, sebanyak 142 kes H1N1 dilaporkan di negeri ini, selain 24 kejadian kluster melibatkan 11 sekolah dan 13 institusi lain.

Bagi membendung penularan penyakit tersebut katanya, Jabatan Kesihatan negeri mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti pemantauan penyakit serupa influenza (ILI), meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pendidikan kesihatan serta pemberian vaksin.

"Ketika ini, penyakit ini aktif balik melibatkan jangkitan tempatan. Kebanyakannya disebabkan kecuaian orang ramai yang tidak ambil berat tentang H1N1 dan langkah-langkah pencegahan penyakit tersebut," katanya.

Mengenai suntikan vaksin H1N1, beliau berkata, kumpulan sasar yang ingin mendapatkan suntikan tersebut dinasihati supaya terlebih dahulu membuat temu janji kerana suntikan tersebut hanya boleh diberikan apabila terdapat 10 orang pada satu-satu masa.

"Harap orang ramai faham bahawa vaksin datang dalam satu botol yang boleh menghasilkan 10 dos untuk 10 orang.

"Apabila botol vaksin dibuka, ia mesti dihabiskan," jelasnya.

2 comments:

YANG GAMBI said...

Salam bro, terima kasih sudi menjenguk blog kawan....selamat menulis blog untuk kebenaran.

Blog tuan sudah disenaraikan dlm bloglist kawan...

Waris Pahang said...

Semoga semuanya dilindungi Allah