Sunday, December 19, 2010

Perancangan Penambah baikkan Perkhidmatan Awam

SUBANG 18 Dis. - Kerajaan akan melaksanakan pembinaan fasa pertama projek Aliran Transit Massa (MRT) di Lembah Klang bagi meningkatkan 50 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam menjelang 2020 bermula Julai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelaksanaan fasa pertama projek berkenaan telah diluluskan oleh jemaah menteri pada mesyuarat mingguannya semalam.

''Projek itu akan bermula melibatkan laluan Sungai Buloh dan Kajang dengan jarak sejauh 60 kilometer termasuk pembinaan 35 buah stesen perhentian yang turut melalui pusat bandaraya Kuala Lumpur,'' katanya pada sidang akhbar, di di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dengan pembinaan fasa pertama projek melibatkan laluan berkenaan, ia akan memberikan perkhidmatan tren yang efisien kepada 1.2 juta rakyat terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Kawasan-kawasan yang terlibat ialah Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama Taman Tun Dr. Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussien Onn dan Balakong.

Najib berkata, lebih 400,000 pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan MRT setiap hari apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang.

"Stesen-stesen integrasi akan dibangunkan di lokasi di mana laluan MRT bersilang dengan laluan KTM Komuter, laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang," katanya

Pada masa yang sama, Najib yang juga Menteri Kewangan turut memberitahu laluan muktamad MRT termasuk lokasi stesen-stesen yang akan dibangunkan masih belum ditetapkan buat masa ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menjalankan kajian pengurusan nilai (value management studies) terlebih dahulu bagi menentukan laluan muktamad untuk perkhidmatan berkenaan dengan mengambil kira kadar penggunaan yang optimum serta pengrealisasian nilai hartanah yang maksima.

"Oleh kerana ini, kos projek yang tepat hanya akan dapat ditetapkan setelah kajian tersebut diselesaikan," tegasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menaruh keyakinan tinggi terhadap pelaksanaan projek MRT terutama dari segi impaknya terhadap ekonomi negara, keselesaan rakyat dan juga imej kepada negara.

Jelas Najib, projek itu merupakan projek yang terbesar pernah diputuskan oleh kerajaan dan merupakan satu projek permulaan ekonomi (EPP) untuk mencapai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi pembangunan Greater Kuala Lumpur-Lembah Klang.

Beliau berkata, projek MRT itu disasarkan dapat meningkatkan lagi penggunaan pengangkutan awam daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada kira-kira 50 peratus pada tahun 2020.

Katanya lagi, dijangkakan perkhidmatan rel akan dapat menampung kira-kira 50 peratus daripada semua penggunaan perkhidmatan awam termasuklah kesan positif kepada ekonomi negara.

sumber: Utusan Malaysia

Syabas ds Najib. Diharap selepas ini dato akan mempertimbangkan laluan mrt ditempat tempat lain pula seperti di Pahang ni. Dato Nan tak ada apa apa perancangan ke hehehe.

No comments: