Saturday, November 20, 2010

PAS Dalang Di Tragedi Memali

25 tahun dahulu, keadaan tidaklah seperti sekarang. Ketika itu, terlalu ramai umat Islam terutama sekali orang Melayu yang buta kayu, jahil, pentaqlid buta, pengikut semberono dan berkepala macai. Pengetahuan tentang agama mereka cukup sekadar tahu membaca al-Fatihah, membaca Surah Al-Ikhlas, Surah An-Falaq dan An-Nas. Kalau ada yang boleh hafal surah lebih panjang sedikit daripada itu, itulah orang yang akan jadi tukang baca doa dalam apa-apa juga majlis. Tapi kalau ditanya balik apa yang didoa, orang itu hanya akan senyum-senyum sebab dia sekadar hafal dari kitab kuning yang entah sudah berapa tangan sebelum sampai ke tangannya.

Itu adalah gambaran majoriti Melayu di kawasan-kawasan pedalaman seperti Baling. Sekalipun terdapat sekolah-sekolah pondok dan sistem pembelajaran agama yang lain, tidak ramai yang berminat untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Tanggapan terhadap ilmu pengetahuan waktu itu sangat miskin, semiskin kehidupan mereka sendiri.

Tiada sesiapa pun yang tahu perancangan Allah Taala. Daripada kejahilan itu, bertembung pula dengan usaha-usaha kerajaan untuk membawa keluar Melayu daripada kemiskinan yang telah membelenggu sekian lama, maka wujudlah keperluan terhadap agama.

Kesempatan itu segera diraih oleh golongan yang berada di dalam Parti Islam Se-Malaysia kerana mereka lebih kuat bertapak di kampung-kampung berbanding kelompok UMNO yang mula melihat Kuala Lumpur sebagai pusat operasi mereka. Orang kampung yang jahil, diterapkan dengan dogma-dogma yang berselindung di sebalik agama dan dogma-dogma tersebut ditelan bulat-bulat. Satu perkara sahaja yang menghalang keseluruhan Melayu tercebur dalam dogma berkenaan adalah kerana terdapat golongan yang terhutang budi dengan UMNO kerana kemerdekaan negara.

25 tahun dahulu adalah kemuncak daripada segala pertembungan. Tragedi Memali hanyalah teladan yang Allah Taala ciptakan untuk renungan umat Islam di negara ini. Ia bukan bersabit akidah yang sebenarnya, tetapi lebih kepada politik kepartian. Daripada politik kepartian itulah, cuba disabitkan dengan akidah walaupun ia sebenarnya sangat menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Dan kerana politik kepartian itulah juga, sekitar tempoh itu jugalah, umat Islam terutama di hulu Kedah, di darat Kedah, di hulu Perak, di hulu Selama, Terengganu dan Kelantan, umat Islam yang jahil tetapi berlagak seolah-olah dahi mereka sudah dicop dengan perkataan SYURGA mereka-reka BIDAAH DHOLALAH kerana perasan iman mereka lebih bersinar berbanding orang yang tidak sefahaman politik mereka.


Maka wujudlah UMNO Kafir, Sembelihan UMNO tidak sah, berimamkan imam yang dilantik UMNO tidak sah, bernikah dengan jurunikah yang dilantik oleh kerajaan UMNO tidak sah, tidak boleh dikuburkan berkongsi tanah perkuburan dengan UMNO, tidak boleh mengajak UMNO datang meraikan kenduri-kendara, tidak boleh bersolat di dalam masjid yang dibina oleh kerajaan kerana masjid dibina daripada dana haram, tidak boleh berzakat dengan amil yang dilantik oleh kerajaan dan sebagainya yang pelik-pelik.

Golongan yang berusia 25 tahun ke bawah tidak pernah mengalami TRAGEDI ini. Sebaliknya berpendapat, ia hanyalah rekaan UMNO semata-mata memandangkan Harakah, makalah, mahupun buku-buku tulisan Imam Besar mereka, Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz tidak pernah menceritakan atau mengulas tentang TRAGEDI tersebut.

Maka atas dasar itu, PAS mempunyai MEMALI untuk versi korban dan pengorbanannya. UMNO juga mempunyai versi korban dan pengorbanannya. PAS menjadikan ulangtahun Tragedi Memali sebagai karnival dengan pelbagai aturcara yang pelik-pelik, sepertimana juga peliknya amalan sebahagian pengikut PAS yang didustakan atas nama al Quran dan As-Sunnah. Hanya UMNO yang tidak mempunyai karnival yang serupa.

Mungkin benar sebagaimana yang dituduh, UMNO buta kayu dalam bab-bab agama, sebaliknya mengikut membuta tuli arahan tok-tok mufti yang digelarkan Nik Aziz sebagai MUFTA. Maka sebab itulah UMNO tidak pernah memberikan pencerahan kepada rakyat negara ini, khususnya orang Melayu-Islam tentang iktikad mereka di dalam agama, sebaliknya berpegang teguh dengan adat dan upacara agama generasi terdahulu. UMNO seperti tidak ada modal untuk menentang PAS dalam hal ini, walaupun seringkali menyatakan PAS sebenarnya khawarij, sesat dan menyesatkan.

Ada baiknya jikalau UMNO membuat sebuah karnival yang serupa dengan Ulangtahun Memali 25 Tahun. Bezanya kalau PAS cuba mengutip derma sebanyak mungkin hasil daripada simpati orang ramai dengan tragedi tersebut, UMNO pula eloklah cuba mengutip kefahaman orang ramai tentang apa yang berlaku terutama tentang kejahilan orang terdahulu sehingga mencetuskan Tragedi berkenaan.

Sembahyang dua imam, sembelihan tidak sah, mayat dibalut bendera parti dan sebagainya bolehlah dijadikan bahan pameran dan karnival. Boleh jadi filem-filem dan video-video pada zaman itu, khususnya tentang khutbah dua imam di dalam sebuah masjid yang sama, boleh ditayangkan semula.



Artikel ini tidak bertujuan untuk melaga-lagakan PAS dan UMNO tetapi rakyat terutama orang Melayu dan Islam wajar membuat penilaian dan pertimbangan yang adil berdasarkan daripada dua sumber, bukannya terhadap satu sumber semata-mata seperti yang berlaku sekarang ini. Ia akan menjadi jauh lebih baik jikalau UMNO dan PAS melakukannya secara serentak dan di tempat yang sama serta pada masa yang sama!!!!

Sumber : Parpu Kari

No comments: