Monday, August 30, 2010

Panas: Orang PAS Sendiri Benci Nik Aziz

APABILA Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas, penulis teringat pesanan seorang pemimpin muda Pas.

Kata pemimpin berkenaan, kalau kita tidak mahu rakyat keliru terhadap sesuatu isu berkaitan orang Melayu dan umat Islam, jangan sesekali media mendapatkan pandangan Nik Abdul Aziz. Ia kerana mereka pasti akan mendapat jawapan yang boleh mewujudkan kekeliruan.

Ternyata Nik Abdul Aziz yang disanjung sebagai ulama unggul dalam Pas terus menimbulkan persoalan apakah sesuatu kenyataan yang beliau keluarkan itu berdasarkan kedudukannya sebagai ahli politik berlidah ulama atau ulama berlidah ahli politik?

Ia kerana apabila timbul isu berkaitan Islam melibatkan pemimpin bukan Islam daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi rakan sekutu Pas dalam pakatan pembangkang, Nik Abdul Aziz akan cuba mempertahankan mereka.

Beliau akan mengeluarkan segala hujah dan nas bagi menyatakan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan adalah betul, biarpun umat Islam berpandangan sebaliknya. Ia termasuklah sebelum ini, isu penggunaan ayat-ayat suci al-Quran oleh pemimpin PKR dan DAP ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang tidak lama dulu.

Ketika itu, walaupun semua umat Islam menganggap penggunaan ayat berkenaan seolah-olah mempermainkan kitab suci al-Quran tetapi Nik Abdul Aziz berkata, ia satu perkara yang baik bagi mendekatkan orang bukan Islam dengan agama Islam.

Hujah yang sama digunakan dalam isu Ahli Parlimen Serdang tersebut dan lebih menarik Nik Abdul Aziz dengan angkuh berkata, tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenarkan tidur, makan dan minum.

Pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor April lalu, Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan larangan berpolitik di masjid dan surau, walaupun larangan itu dilakukan oleh Sultan Selangor bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah belah kerana ideologi politik.

Kalau beginilah sikap Nik Abdul Aziz, kita tidak perlu hairan jika selepas ini, pemimpin-pemimpin Pas akan turut mempertahankan jika ada pemimpin bukan Islam daripada PKR dan DAP berucap di mimbar masjid pula atas alasan ia baik untuk mendekatkan mereka dengan Islam.

Namun begitu seperkara kita tidak boleh lupa mengenai Nik Abdul Aziz ialah beliau akan berusaha mengeluarkan apa juga hujah dan nas bagi memperkukuhkan kenyataannya mempertahankan rakan-rakan politiknya. Suatu ketika dahulu beliau pernah menyatakan ‘Allah lagi samseng’ dan menganggap undi Pas masuk syurga.

Sebenarnya, semakin lama Nik Abdul Aziz menjadi Mursyidul Am Pas, ia semakin membebankan parti berkenaan. Imej Pas banyak dicemari oleh kenyataan-kenyataan kontroversi Nik Abdul Aziz. Ia bukan baru berlaku malah sudah terjadi sejak tahun 1994 lagi, apabila ketika itu Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa menentang Pas adalah haram mengikut Islam.

‘Kecelaruan’ pemikiran politik Nik Abdul Aziz semakin terserlah sejak Pas berkawan rapat dengan PKR dan DAP. Sebab itulah pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam kedua-dua parti itu tidak akan teragak-agak melakukan tindakan yang mengguris perasaan orang Melayu dan Islam kerana mereka tahu ada seorang mursyidul am yang akan membela mereka.

No comments: