Tuesday, July 20, 2010

Sikap Pahang jayakan projek bekalan air

MELIHAT gelagat kerajaan Selangor yang berdolak-dalik dalam urusan pembekalan air untuk rakyat negerinya dan penduduk Lembah Klang, ternampak sikap budiman (gentleman) tinggi oleh kerajaan Pahang.

Urusan pembekalan air yang dimaksudkan ialah di bawah projek Kerajaan Persekutuan - Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) bernilai RM9,000 juta.

Projek ini melibatkan dua komponen utama iaitu pembekalan air mentah dari Pahang ke Selangor termasuk menerusi terowong bawah tanah antara Karak di Pahang dan Hulu Langat di Selangor; dan pembinaan loji rawatannya di Hulu Langat sendiri.

Bagi komponen pembekalan air mentah, urusannya yang melibatkan penggunaan tanah yang di bawah kuasa negeri, berjalan lancar hasil kerjasama erat dan sedia berunding oleh kerajaan Pahang.

Kalaupun ada sedikit bantahan, ia berkaitan keperluan untuk membina hanya sebuah empangan iaitu di Lembah Klau, Raub. Cadangan asal ialah dua buah, dengan sebuah lagi mahu dibina di sebuah lagi daerah di negeri ini.

Bantahan ini berasaskan sikap mengambil berat kerajaan Pahang demi meminimumkan kesan negatif ke atas alam sekitar negeri yang mungkin lebih besar akibatnya jika terbinanya dua buah empangan.

Begitu mengambil beratnya kerajaan Pahang hinggakan empangan di Lembah Klau itu pun diminta supaya direndahkan ketinggiannya demi menjamin keselamatan empangan tersebut khususnya ketika takungan airnya penuh.

Dan atas semangat permuafakatan dan perundingan yang berkesan antara kedua-dua kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan, kedua-dua cadangan ini dituruti.

Sikap positif seperti mana diambil oleh kerajaan Pahang ini sebaliknya tidak kelihatan berlaku dalam pelaksanaan komponen pembinaan loji rawatan air ekoran kerenah kerajaan Selangor yang ada.

Sedangkan, tahun 2014 hanya empat tahun lagi yang jika keseluruhan projek ini lewat dilaksanakan, bakal mengundang krisis air di Lembah Klang yang membabitkan penduduk negeri Selangor, serta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tahun itu.

Inilah yang disuarakan secara tegas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dipersetujui oleh bukan sahaja menterinya, Datuk Peter Chin Fah Kui, malah pengendali syarikat air sendiri, iaitu Pengerusi Eksekutif, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Tan Sri Rozali Ismail.

Selain memastikan segala urusan tanah berjalan lancar, kerajaan Pahang bertindak budiman pada penetapan harga air mentah yang hendak dijual kepada negeri jirannya itu, Selangor.

Ini cuba diseimbangkan agar dalam menyetujui kadar berkenaan, kerajaan Pahang mesti turut berteraskan kepada titah nasihat Sultan Pahang pada perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-11 pada 13 April 2007 betapa; "Dalam hubungan ini, Beta ingin menyeru kerajaan Beta supaya mengadakan rundingan secara serius dan teliti bagi memastikan ia tidak berat sebelah dan supaya negeri dan rakyat tidak terbeban pada masa akan datang."

Lalu, sungguhpun tidak memperolehi kadar 15 sen semeter padu seperti mana permintaan asal, namun masih dapat bersetuju pada kadar 10 sen semeter padu yang dilihat memadai berbanding yang ditawarkan kerajaan Selangor pada awal perbincangan tersebut pada kadar cuma dua (2) sen semeter padu.

Dengan 10 sen semeter padu itu, dan jumlah air yang bakal dibekalkan ialah 1.893 juta meter padu sehari, kerajaan Pahang bakal memperolehi pendapatan sebanyak RM189,300 sehari, atau RM5.679 juta sebulan, atau RM68.148 juta setahun.

Nilai ini pun bukanlah sebesar mana - kutipan tahunan daripada penjualan air dirawat setahun daripada pengguna di Pahang yang kerajaan negeri perolehi pun, lebih daripada itu iaitu pada purata RM90 juta setahun.

Namun, atas sikap budiman dan hasrat mahu membantu, kerajaan Pahang terima juga dan pada 22 November 2007, perjanjian mengenainya ditandatangani dengan kerajaan Selangor yang ketika itu diterajui Barisan Nasional (BN).

Sungguhpun kini kerajaan Selangor beralih kepada pembangkang, kerajaan BN Pahang sekali lagi memperlihatkan sikap budimannya.

Dalam hal ini, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pernah ditanya oleh wartawan, kot-kot kerajaan Pahang mula berubah hati lalu mahu perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Selangor di bawah BN dahulu, dikaji semula.

Tanpa ragu-ragu dan dengan nada tegas Adnan menjawab tidak, seterusnya menekankan tentang keperluan dan kemestian kerajaan Pahang untuk berpegang pada janjinya.

Kalaulah susah sangat bagi Kerajaan Persekutuan hendak berurusan dengan kerajaan Selangor berhubung dengan usaha menjayakan PPAMPS ini dengan segala dolak-dalihnya, binakan sahaja loji rawatan itu di sebelah sempadan negeri Pahang.

Dengan ini, dapatlah kerajaan Pahang memperolehi pendapatan lebih besar menerusi penjualan air dirawat yang kadarnya tentu lebih tinggi daripada kadar penjualan air mentah semata-mata.

No comments: