Beliau - Menteri Besar Dato' Sri Adnan Yaakob, mengambil masa sepenuhnya petang Khamis itu, menziarahi dari rumah ke rumah, mereka yang kurang bernasib baik itu.
Akhirnya, sembilan (9) orang dalam lingkungan usia antara 40-an dan 70-an, diziarahinya bermula dengan Encik Azman Mat Dan, yang mengalami strok; Samsudin Seman, gaut dan kurang daya penglihatan;
Encik Mahat Ismail, penyakit misteri (reput tulang); Puan Azizah Suleiman dan Encik Zakaria Mat Din, kedua-duanya juga strok; Encik Akuyan Tasrip, diebetis; Encik Kadir Sharif, strok; Encik Ishak Mat Rawi, sakit tua; dan Encik Alang Ahmad Butun, strok.
Pada setiap ziarahan itu, Dato' Sri Adnan bertanya khabar sambil menghulurkan sumbangan peribadi kepada mereka. Selain itu, bantuan seterusnya akan diikhtiarkan bagi meringani beban mereka serta keluarga yang menjagai 'makan-minum' mereka.
Ketika ditemui pemberita untuk mendapatkan ulasannya setelah mengakhiri siri ziarah itu, dengan hanya duduk bersila di muka pintu rumah Encik Alang Ahmad, Dato' Sri Adnan berkata :
"Ini bukanlah untuk kita mengheboh-hebohkan, menunjukkan kita ni terlalu prihatin tidak... Tetapi sebenarnya keprihatinan kepada rakyat memang amalan pemimpin-pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Apatah lagi zaman sekarang ni, Perdana Menteri sendiripun YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, selalu turun padang dan beliaupun bukan berhasrat untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk mengatakan hakikat sebenar bahawa Kerajaan melalui pemimpin-pemimpin mereka, adalah prihatin.
"Dan di Pahang ni, saya hanya salah seorang wakil rakyat yang juga turun padang. Rakan-rakan saya yang lainpun, wakil-wakil rakyat yang lainpun membuat perkara yang sama di tempat masing-masing," katanya.
ZIARAH DAPAT JALIN HUBUNGAN PEMIMPIN/RAKYAT
Dato' Sri Adnan yang juga wakil rakyat di situ (BN-Pelangai), seterusnya berharap betapa dengan adanya amalan ziarah-menziarahi itu, akan dapat merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan dengan rakyat.
"Kita berharap dengan apa yang kita lakukan ini kita dapat terus menjalinkan hubungan yang rapat dengan anggota-anggota masyarakat di tempat masing-masing dan juga dengan pengundi-pengundi;
"Sama ada mereka mengundi kita atau tidak itu soal lain. Yang pentingnya, kalau saya menziarahi orang Islam, ialah atas prinsip 'ikhwanul muslimin', persaudaraan sesama Islam.
Ini tentunya faktor penting yang dapat terus membantu dalam pada beliau menerajui Pahang ke arah kemakmuran demi kesejahteraan rakyat-jelata jua.
"Kalau saya menziarahi kawan-kawan bukan Islam, itu atas prinsip muhibbah, kemanusiaan 1 Malaysia," kata Menteri Besar yang dalam siri ziarah itu turut diiringi Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasharuddin Ahmad.
Sebelum itu, pada tengah hari, Dato' Sri Adnan tiba di padang awam di sini, untuk merasmikan Program Mesra Rakyat - Mendekati Orang Muda, anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri dengan kerjasama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Chemomoi.
JANGAN MUDAH PERCAYA DAKYAH PENCEMUH KERAJAAN
Dalam ucapan 22-minitnya, Dato' Sri Adnan mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pencemuh Kerajaan khususnya yang dilakukan menerusi internet.
"Jangan mudah percaya. Orang kita mudah percaya. Dalam internet sebagainya, orang suka cerita yang tak betul. Hak yang buruk-burukkan Kerajaan, itu yang kita percaya.
"Sedangkan Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, percayalah cakap saya. Jika tak ada Kerajaan yang sekarang ni (Kerajaan BN), anak-anak kita yang jadi cikgu, jadi pegawai, jadi doktor... Kerajaan mana? Kerajaan nilah hari tu.
"Daripada (Almarhum) Tunku Abdul Rahman, (Allahyarhan) Tun Razak, (Allahyarham Tun) Hussein Onn, (Tun Dr) Mahathir belaka. Pak Lah, (Dato' Sri Mohd) Najib sekarang ni. Kepada dia oranglah (kita terhutang budi)," katanya.
Antara yang turut hadir ialah Pengarah Kemas Negeri, Puan Halimahton Mansor; Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, ASP Mansor Mohd; Encik Nasharuddin; Pengerusi, MBFM Chemomoi, Encik Ahmad Yahya; Pengerusi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chemomoi, Encik Idris Mohd Nor; dan Ketua UMNO cawangan Chemomoi, Encik Abdul Ghani Taib.
No comments:
Post a Comment