PEKAN 28 Mei - Pendekatan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyampaikan dakwah dengan menziarahi pesakit di hospital wajar dicontohi oleh semua pemimpin masyarakat dan jabatan agama Islam yang lain.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata, pendekatan sedemikian memberi impak yang cukup positif kepada pesakit-pesakit kerana mereka akan sentiasa rasa diingati dan tidak dipinggirkan.
"JAIP berjaya mengubah persepsi umum bahawa jabatan berkenaan bukan hanya sekadar menjalankan peranan terhadap penguatkuasaan atau nikah kahwin sahaja tetapi turut menyampaikan dakwah secara tidak langsung.
"Menyampaikan dakwah melalui Program Mesra Dakwah (Peramah) dengan mengunjungi pesakit di hospital sedikit sebanyak memberi sokongan kepada mereka untuk melawan penyakit yang dihadapi.
"Malah, para pesakit memberi maklum balas positif dan gembira dengan kehadiran para pegawai dari JAIP yang bukan sahaja menziarahi mereka tetapi turut menyampaikan cenderahati," katanya kepada pemberita selepas menyertai JAIP menziarahi para pesakit di Hospital Pekan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah JAIP, Mohd. Ghazali Abd. Aziz.
Sementara itu, menurut Jailani, dalam konteks politik semasa juga pemimpin masyarakat disaran untuk turun padang dan bertemu penduduk tanpa mengira masa.
"Bertemu masyarakat dan menziarahi orang sakit dengan menyelami masalah yang mereka hadapi merupakan nadi kekuatan ke atas satu-satu kepimpinan.
"Oleh itu, setiap pemimpin perlu mencari ruang dan peluang yang sesuai untuk bertemu dan mendampingi masyarakat tanpa mengira masa.
"Ini kerana apa yang diperhatikan ialah kebanyakan pemimpin hanya akan turun padang untuk berkempen apabila pilihan raya diadakan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment