Senator Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin berkata, tindakan itu wajar dilakukan memandangkan hukuman berat lain seperti pancung yang dikenakan terhadap pihak yang melakukan perbuatan sama pada zaman dahulu tidak lagi diamal sekarang.
"Kalau zaman dahulu, sebelum ada mahkamah dan polis, kalau ada orang yang menghina dan menentang raja akan dihukum pancung, tapi sekarang ini kita tidak melaksanakannya kerana kita ada undang-undang, mahkamah dan polis.
"Oleh itu, saya cadangkan kerajaan gugurkan kerakyatan mereka yang menghina dan menentang Sultan dan raja-raja Melayu kerana tidak ada gunanya rakyat yang tidak menghormati pemerintah yang paling agung di negara kita," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, seniman veteran itu juga mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya menghormati titah ucapan Yang di-Pertuan Agong kerana Seri Paduka telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
"Jangan kita mempersoalkan titah ucapan Tuanku, kita boleh mengkaji titah ucapan Tuanku tapi bukan mengkaji semula titah ucapan itu," ujarnya.
Sebelum itu, Senator Datuk Azian Osman ketika membentangkan usul berkenaan meluahkan perasaan sedih, malu dan marah dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang yang mempertikaikan titah ucapan Tuanku Mizan baru-baru ini.
Beliau berkata, adalah tidak wajar pihak berkenaan bertindak sedemikian semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang memuji dan menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang perlu dicontohi.
"Lebih memalukan lagi, dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, titah ucapan Tuanku terpaksa diluluskan dengan undi belah bahagi, saya berharap di dalam Dewan yang mulia ini tidak akan berlaku perkara sama.
"Kita perlu hormat titah ucapan Tuanku kerana ia adalah hak Tuanku dan jangan merendahkan Tuanku. Jika ada draf ucapan daripada mana-mana pihak, Tuanku akan membacanya terlebih dahulu dan jika dirasa tidak bercanggah, Tuanku akan perkenan," katanya.
Tambah Azian, beliau kesal, kerana pihak pembangkang juga tidak menghiraukan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini supaya masjid tidak dijadikan sebagai medan politik.
No comments:
Post a Comment