Wednesday, August 24, 2011

Jadi Rabbaniyyun Bukan Ramadhaniyyun

SYUKUR yang tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang sekali lagi dalam hidup kita untuk berada di sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.

Ini adalah peluang keemasan untuk kita rebut dan membuat 'pecutan terakhir' sebelum Ramadan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.

Sahabat-sahabat meriwayatkan bahawa pada sepuluh malam terakhir inilah Nabi SAW dilihat menggandakan amalan baginda, beriktikaf di masjid serta menghidupkan malam-malam dengan qiamullail.

Sehinggakan baginda SAW digambarkan menjauhi seketika isteri-isteri dengan tidak menggauli mereka pada fasa terakhir Ramadan ini.

Aisyah r.a meriwayatkan: Baginda SAW apabila masuk sepuluh malam yang akhir Ramadan, baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri baginda dan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lebih-lebih lagi kerana pada 10 malam terakhir inilah ruang yang masih berbaki untuk kita di bulan Ramadan. Bahkan, telah dijanjikan oleh Allah SWT dengan satu malam yang dinamakan sebagai Lailatul Qadr ataupun malam al-Qadr di mana Allah memberi ganjaran pahala beribadat pada malam berkenaan menyamai seribu bulan.

Allah SWT menghuraikan kelebihan malam ini secara jelas dan spesifik sehingga diturunkan sebuah surah mengenainya iaitu surah al-Qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui (kelebihan) malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan (Jibril) turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)

Nabi SAW juga memberikan pedoman dan nasihat kepada umat baginda supaya memperbanyakkan bacaan doa sebagaimana jawapannya kepada Aisyah r.a, apabila dia bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, sekiranya saya berada pada malam al-Qadar, apakah yang patut saya ucapkan. Nabi SAW bersabda: Ucapkan: Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka mengampuni, maka ampunilah aku ini).

Walaupun Nabi SAW telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang, namun tetap melakukan ibadah melebihi orang yang melakukan dosa besar yang sedang bertaubat.

Air mata baginda SAW tidak pernah kering ketika menadah tangan, merintih di hadapan Allah SWT dengan seribu satu permohonan. Tidak pernah lekang di bibir nabi SAW memohon keampunan kepada umatnya.

Demikian juga para sahabat r.a yang tidak pernah sepi hidup mereka dengan ibadah dan perjuangan. Walaupun sebahagian daripada mereka telah dijamin syurga dan diampunkan dosa-dosa yang lalu.

Jauh sekali sekiranya kita hayati perbezaan antara puasa yang kita kerjakan dengan apa yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat r.a.

Puasa mereka adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Namun, puasa dan ibadah yang kita kerjakan adalah kerana bulan Ramadan, bukannya kerana Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita tidak dapat dan tidak mampu meneruskan momentum ibadah puasa selepas berakhirnya Ramadan kerana semua ibadah yang dilakukan adalah hanya untuk tempoh sebulan sahaja.

Benarlah ungkapan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa ada di kalangan umat Islam yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah SWT. Sedangkan Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya. Manakala Allah SWT sahaja yang kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.

Mereka yang benar-benar menjadi hamba Allah SWT akan diterima amalannya. Hamba-hamba yang sebenar adalah apabila melaksanakan segala ibadah, mereka akan lakukannya dengan penuh ketaatan semata-mata kerana Allah SWT, walaupun mungkin mereka gagal mencari hikmah di sebalik pensyariatan ibadah berkenaan.

Justeru, jadilah Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun. Pusatkan tumpuan peribadatan kita di bulan Ramadan ini mutlak kepada Allah SWT, bukannya untuk memenuhi tentatif di bulan Ramadan.

Friday, January 14, 2011

Dosa DAP Kepada Umat Islam Malaysia

Terlalu banyak dosanya pemimpin parti DAP ini kepada umat islam Malaysia. Sejak tragedi berdarah 13 mei 1969 sehingga kini umat islam ditindas dan dihina. Kini umat islam di P.Pinang menghadapi ancaman daripada parti DAP.

Satu persatu kampung orang melayu dirampas, rumah mereka dirobohkan manakala gerai/perniagaan mereka dihalang. Semuanya bertujuan melemahkan orang melayu islam disana. Seterusnya menghalau mereka daripada P.Pinang secara halus.

Malah bukan setakat orang melayu saja, orang india dan juga mamak tidak terkecuali dari "ethnic cleansing" ini. Kampung Buah Pala dirampas manakala rumah penduduk diroboh. Janji mereka kepada kaum india dilupakan.

Peniaga mamak dihalang berniaga. Segala barangan kedai mereka dirampas. Bukan itu saja, mereka dihina oleh para pemimpin parti rasis ini. Pada hari ini, Persatuan Anak Mamak P.Pinang mengamuk di KOMTAR.











Perjuangan menentang DAP tidak akan selesai sehinggalah parti ini dihapuskan sama sekali seperti hancurnya gerakan komunis dahulu.

Tuesday, January 11, 2011

100 Hari Menjahanamkan Negara


PUTRAJAYA 10 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan janji pakatan pembangkang untuk melaksanakan ‘Pelan 100 Hari’ jika dapat memerintah negara sebagai amat populis dan tidak berpaksi di bumi nyata.

Perdana Menteri menegaskan, terdapat keanehan serta amat menghairankan apabila pembangkang membentangkan segala janji yang populis tanpa membentangkan sebutir maklumat pun mengenai punca sumber kewangannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadai masa depan negara dan begitu tidak bertanggungjawab sekali sehingga anak cucu merana kelak. Kalau begitu, bagaimana segala yang dijanjikan kepada rakyat boleh dilaksanakan, boleh ditunaikan.

“Malah tanpa menunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja menurut perkiraan kita, negara kita jadi macam Greece kalau dilaksanakan segala janji itu tanpa mengambil kira kemampuan negara.

Sumber: Utusan Malaysia

Sememangnya pakatan sudah ditakdirkan tidak boleh memerintah. Sekurang kurangnya untuk setengah abad ini. Itulah yang boleh pendekar rumuskan dengan melihat barisan kepimpinan pakatan pada hari ini.

Bukan setakat barisan pemimpin, malah barisan pelapis mereka juga tidak boleh diharap. Dua kali lima sama teruknya. Mungkin mereka perlukan 20 atau 30 tahun lagi untuk menghasilkan pemimpin yang berkualiti dan baik seperti pemimpin kerajaan sekarang.

Didalam pelan 100 hari memerintah, mereka menjanjikan kemakmuran negara didalam masa yang singkat. Dengan realiti sekarang yang boleh dilihat sendiri di Selangor, kelantan dan P.Pinang, adakah rakyat boleh melihat kemakmuran itu?

Kerajaan negeri P.Pinang dibawah pemerintahan DAP, sudah jelas mereka mengamalkan perkauman. Manakala di Selangor, kerajaan PKR sedang rakus mengaut keuntungan dari perut bumi Selangor. Dan di Kelantan pula, kerajaan PAS hanya membawa kemunduran dan kesusahan kepada rakyat.

Selain itu, pakatan pembangkang sendiri tidak bersatu hati. Rakyat boleh melihat mereka mengamalkan dasar pecah dan perintah. Setiap negeri diperintah oleh parti berlainan. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai PAKATAN rakyat, corak pemerintahan mereka adalah berbeza disetiap negeri takluk.

Bagaimana mereka mahu menjaga satu negara ini jika mereka sendiri tidak bersatu? Janji 100 hari itu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan iaitu janji 100 hari menjahanamkan negara.

Friday, January 7, 2011

Punca perselisihan Kristian - Islam Mesir

MESIR merupakan sebuah negara Islam yang miskin walaupun dalam negara tersebut mempunyai pelbagai kesan bahan peninggalan sejarah. Negara ini memiliki tamadun kuno yang terhebat di dunia.

Mesir menjadi tarikan pelancong seluruh dunia kerana ia merentasi tamadun masyarakat penyembah berhala atau Pharonic dan tiga tamadun masyarakat yang menganut agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Pelancongan merupakan salah satu pendapatan terbesar Mesir.

Sistem ekonomi yang terlalu bergantung kepada pelabur asing yang dikenali sebagai Polisi Ekonomi Terbuka (Infitah/ The Open Door Economic Policy) menjadikan negara ini salah sebuah negara Arab yang dikuasai oleh para pelabur asing sehingga keuntungan negara tidak dapat dinikmati keseluruhannya oleh masyarakat Mesir.

Polisi ekonomi begini memberi peluang yang paling baik bagi pelabur asing menguasai ekonomi Mesir. Kajian yang dilakukan oleh seorang ahli ekonomi dalam tahun 1980-an menunjukkan 70 peratus daripada keuntungan hasil daripada pelaburan melalui polisi penswastaan begini dimiliki oleh pelabur asing dan 30 peratus dimiliki oleh golongan teknokrat dan elit Mesir.

Pelabur asing terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan British merupakan pelabur asing yang menguasi ekonomi Mesir. Sikap campur tangan AS dalam hal ehwal politik Mesir dengan menyediakan bantuan kewangan bagi melindungi para pemimpin Mesir membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat Mesir kepada pelabur Barat. Misalnya, dalam tahun 1981, AS memperuntukkan lebih daripada AS$30 juta untuk keselamatan Anwar Sadat. Seminggu selepas Sadat mendapat pengesahan keselamatannya daripada kedutaan AS, beliau dibunuh oleh Leftenan Khalid Islambuli, salah seorang anggota Jamaah Islamiyah dikenali sebagai Tanzim al-Jihad. Pembunuhan pada 6 Oktober 1981 di hadapan duta AS itu berlaku ketika perhimpunan menyambut kejayaan Perang Oktober 1973.

Sikap diktator atau kuku besi yang diamalkan oleh regim Mesir dalam menyelesaikan permasalahan politik bukan sahaja menyebabkan masyarakat Mesir sama ada beragama Islam atau Kristian merasai cemas dan gelisah malah ia juga menyebabkan ramai golongan muda terutama para pelajar universiti tempatan bangun memberontak dan menyertai pergerakan radikal seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wal-Hijrah. Tanzim al-Jihad merupakan satu pergerakan yang paling radikal di Mesir.

Tanzim al-Jihad wujud dalam tahun 1970-an. Pada permulaannya mereka adalah kumpulan daripada Akademi Tentera (al-Fanniyyah al-Askariyyah). Mereka melakukan percubaan untuk menjatuhkan regim melalui serangan terhadap Akademi Teknikal Tentera dalam tahun 1974.

Selepas kumpulan ini dihapuskan dalam konfrantasi berdarah dengan polis di Alexandria, pengikutnya dibahagikan kepada banyak kumpulan. Kumpulan tersebut tersebar di merata tempat termasuk Alexandria dan Naga' Hamdi.

Kebanyakan ahli kumpulan ini datang dari Giza, dari daerah Bulaq al-Dakrur dan Imbaba, Assiut, al-Minya dan Sohag. Pengaruh pergerakan ini yang paling kuat ialah di bahagian utara Mesir.

Ahli pergerakan ini terdiri daripada golongan profesional. Sebahagian daripada mereka adalah graduan lelaki dan wanita dari universiti dan kolej terkemuka di Mesir iaitu daripada fakulti perubatan, farmasi dan kejuruteraan serta individu yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi, seperti televisyen, radio dan telefon.

Sebelum 1981, pergerakan ini mempunyai dua ratus ribu ahli. Ahli-ahlinya diwajibkan mempelajari perkara berkaitan dengan ketenteraan, undang-undang umum, latihan teori skil penggempur, menggunakan senjata dan bom. Mereka juga mengkaji tingkah laku dan kehidupan seharian individu yang memimpin negara.

Mereka juga melantik sebahagian ahlinya mendapat maklumat mengenai tempat-tempat dan kegemaran individu yang akan diserang. Mereka diajar cara menggunakan kod untuk menulis maklumat. Bagi menjamin keselamatan ahli-ahli kumpulan, mereka menggunakan nama samaran sepertimana Khalid Islambuli diberi nama Zafir.

Sikap campur tangan kuasa Barat dalam hal ehwal politik dan ekonomi Mesir bukan sahaja menyebabkan golongan radikal beranggpan mereka adalah musuh Islam, malah penganut agama Kristian di Mesir juga menjadi sasaran serangan kumpulan ini.

Kristian Koptik merupakan penduduk majoriti Kristian. Gerejanya terpisah daripada Eastern Orthodox Church (Gereja Ortodox di bahagian timur) dan Gereja Roman Khatolik dalam tahun 451 Masihi. Selain daripada Kristian Koptik, Kristian Katholik dan Kristian Evangelical juga merupakan penghuni Mesir.

Pembunuhan dan pengeboman terhadap gereja mungkin mempunyai kaitan dengan pergerakan Tanzin al-Jihad kerana apabila dikaji ideologi pergerakan ini jelas menunjukkan mereka beranggpan orang Kristian Koptik di Mesir adalah musuh Islam.

Pergerakan Tanzim al-Jihad menghalalkan pembunuhan terhadap orang yang dianggap kafir walaupun orang itu Islam. Pergerakan ini juga mengharuskan pembunuhan orang Kristian dan merompak kedai emas mereka. Contohnya di Naga Hamadi, mereka menyerang orang Kristian dan kedai emas kerana pada pandangan mereka, orang Kristian menyokong gereja untuk menentang orang Islam.

Mereka beranggapan Anba Shenouda iaitu Pope Gereja Koptik Mesir sebagai seorang musuh yang aktif terhadap Islam. Mereka menggelarnya sebagai al-kafir Shenouda al-Nasrani (Shenouda Kristian kafir).

Serangan terhadap gereja dan orang Kristian Mesir sering berlaku di kawasan-kawasan yang dihuni oleh ahli-ahli pergerakan Tanzim al-Jihad sejak tahun 1970-an. Contohnya semasa sambutan parayaan Krismas dalam tahun 1979 berlaku siri pengeboman di kawasan Utara Mesir.

Pada Januari 1980 Tanzim al-Jihad menyerang dan mengebom gereja-gereja di Alexandria. Pada musim panas dalam tahun 1981, pergerakan ini terlibat dalam pengeboman Rof al-Farag dan Zawiyya Hamra ketika berlaku pertempuran dengan Kristian Koptik.

Sikap pemimpin kedua Gereja Koptik, Bishop Bishoy yang cuba mempersoalkan ketulenan al-Quran juga boleh menyebabkan kedudukan Kristian tidak selamat. Pada bulan September 2010 Bishop Bishoy menegaskan bahawa sebahagian ayat al-Quran mungkin merupakan tokok tambah selepas kematian Rasulullah SAW dan perlu dikaji semula.

Kenyataan beliau disanggah oleh Ahmed Tayyeb, Imam Besar Mesir dengan menegaskan sikap Bishop tersebut boleh menggugat perpaduan negara. Berikutan peristiwa itu Pope Shenouda III memohon kemaafan kepada umat Islam melalui siaran televisyen.

Ketangkasan dan kelicikan pergerakan ini bukan sahaja sukar untuk ditangani oleh kerajaan Mesir malah ia juga menggerunkan orang Kristian negara itu. Pembunuhan orang Kristian dan kemusnahan gereja sering berlaku di kawasan di mana pergerakan ini bertapak.

Misalnya pada Oktober 2010 tembakan berlaku di satu lorong di Naga Hamadi berhampiran gereja ketika orang Kristian Koptik selesai menyambut malam perayaan Krismas. Dalam peristiwa ini enam orang Kristian dan seorang pengawal keselamatan beragama Islam terbunuh.

Peristiwa serangan gereja Koptik di Alexandria pada 1 Januari 2011 waktu malam ketika Kristian Koptik menyambut tahun baru menyebabkan tujuh orang terbunuh dan 24 orang cedera mungkin dilakukan oleh ahli pergerakan Tanzim al-Jihad kerana Alexandria merupakan salah satu kawasan pergerakan tersebut.

Sistem kepimpinan dan pentadbiran yang tidak tersusun dan pengabaian terhadap keperluan asas rakyat adalah punca utama kepada kewujudan golongan radikal dan perselisihan kaum dan agama. Oleh itu para pemimpin dan pentadbir negara Islam perlu memperkukuhkan sistem kepimpinan dan pentadbiran negara supaya rakyat merasai selesa dan terbela.